Wednesday, April 11, 2012

Forex difatwakan haram

KOTA BHARU - Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan umat Islam haram mengamalkan sistem perniagaan pertukaran wang asing. Pengerusi Jawatankuasa itu, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin (gambar) berkata ini kerana perniagaan yang dilakukan melalui pertukaran wang asing seperti itu tidak menepati hukum syarak dan menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam.


"Hasil kajian Jawatankuasa ini, kita dapati perniagaan yang melibatkan pertukaran wang asing melibatkan spekulasi mata wang dan ini bercanggah dan berlawanan dengan hukum Islam."

"Oleh itu, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa umat Islam diharamkan daripada mengamalkan sistem perniagaan cara demikian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Ke-98 di sini hari ini.

Abdul Shukor berkata banyak isu yang meragukan mengenai perniagaan pertukaran asing, oleh itu umat Islam tidak perlu menceburkan diri, tambahan pula kegiatan itu melibatkan penggunaan internet di kalangan individu, yang menyebabkan untung rugi tidak menentu.

"Lain-lain jenis perniagaan pertukaran wang asing, seperti melalui pengurup wang atau dari bank ke bank dibenarkan, kerana ia tidak menimbulkan spekulasi mata wang atau untung rugi yang tidak menentu," katanya.

Beliau berkata keputusan lain yang turut dicapai dalam mesyuarat itu ialah mengharuskan umat Islam membuat pelaburan atau membuat simpanan melalui Skim Sijil Simpanan Premium (SSPM) yang dikendalikan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Katanya keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa berkenaan berpuas hati dengan kaedah pelaksanaannya melalui taklimat yang disampaikan oleh pihak penal syariah Bank Negara pada muzakarah itu.

"Pada mulanya, kita meragui tentang kaedah pelaksaaan skim itu tetapi kita berpuas hati setelah sistem perniagaan melalui SSPN itu ditukar konsep Islam iaitu Mudharabah." - Bernama


BNM Jelaskan Status Dagangan Mata Wang Asing
KUALA LUMPUR, 16 Feb -- Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan kepada orang ramai bahawa membeli dan menjual mata wang asing di Malaysia hanya dibenarkan kepada bank perdagangan, bank-bank Islam, bank pelaburan dan bank-bank Islam antarabangsa berlesen seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953, dan dengan penyedia perniagaan perkhidmatan wang (pengurup wang) berlesen seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011.

Sebagai tambahan, produk kewangan yang berlandaskan syariah, yang termasuk urus niaga berkaitan pertukaran asing yang ditawarkan dan diurusniagakan oleh institusi kewangan Islam berlesen adalah diluluskan oleh Jawatankuasa Syariah institusi kewangan masing-masing dengan mendapat pengesahan daripada Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia.

Dalam kenyataan berasingan bagi menerangkan isu tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin menjelaskan bahawa pengharaman perniagaan pertukaran mata wang asing adalah merujuk kepada pengharaman skim perniagaan mata wang asing oleh individu secara lani menerusi platform elektronik yang bertentangan dengan undang-undang.

Katanya pengharaman itu tidak terpakai ke atas urus niaga pertukaran mata wang asing menerusi kaunter di pengurup wang berlesen dan urus niaga pertukaran mata wang asing yang dikendalikan oleh institusi-institusi kewangan yang berlesen.

"Saya mendapati bahawa kenyataan saya telah disalah lapor oleh sebahagian media yang menggambarkan seolah-olah semua perniagaan pertukaran mata wang asing adalah haram," katanya di dalam satu kenyataan media Khamis.

Beliau berkata pengharaman yang telah dibuat ke atas skim berkenaan adalah berdasarkan keraguan yang terdapat dalam urus niaga ini yang bercanggah dengan hukum syarak serta tidak sah dari aspek undang-undang kerajaan Malaysia.


Jika anda rasakan post ini menarik dan berguna, mohon share di Facebook. Terima kasih kerana support blog ni :)

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
- ,